Sebetulnya saya sudah lama tidak mengupdate blog disebabkan kekangan masa setelah menjadi suri sepenuhnya ,namun saya gagahkan juga jari ini menaip untuk menceritakan kisah saya ataupun 'My Story' selepas menghadiri seminar 3 hari Intensif Jutawan Industri (IJI) di PWTC dengan sokongan dan cabaran dari mentor saya Dr. Azizan Osman (DAO). Selepas mendengar kisah kehidupan ramai orang, saya sesungguhnya berasa amat bertuah kerana kepayahan yang saya alami dulu tidaklah sampai ke tahap yang amat serius. Pengalaman hidup semasa kecil dan remaja memang amat sukar dilupakan kerana ianya bercampur-aduk dengan kisah suka mahupun duka.
Sewaktu saya kecil semuanya adalah indah belaka walaupun saya terpaksa menolong emak menjual kuih muih di sekolah. Pernah juga saya mengambil upah menjaga anak jiran dengan kadar bayaran RM1 sehari. Pada tahun 80-an, nilai wang RM1 masih amat besar nilainya. Saya juga pernah mengumpul anak-anak pokok getah untuk dijual dan saya sebagai anak kampung yang masih kecil pada ketika itu memang tidak tahu apa erti kesusahan kerana setiap pekerjaan yang saya buat pasti akan mendapat bayaran walaupun hanya 10 sen. Sewaktu di sekolah rendah, saya sudahpun pandai berenang. Kuak apa yang saya tidak tahu, sungai sedalam mana yang saya tidak berenang.. semuanya saya redahi sebab bagi saya tidak ada cabaran di dalam hidup melainkan keseronokan bermain bersama kawan-kawan.
Ketika remaja saya terpaksa tinggal di asrama kerana faktor jarak rumah yang jauh dari sekolah. Jika saya tidak tinggal di asrama saya perlu keluar dari rumah seawal jam 6 pagi untuk menunggu bas di jalan besar. Saya juga amat berterima kasih kepada emak yang begitu banyak membantu saya dari segi kewangan. Biar sesusah manapun beliau akan sedaya upaya berusaha memenuhi keperluan sekolah atau sampingan saya. Terasa berdosanya saya kini kerana saya yang dulu...yang hanya tahu meminta. Ayah saya pula telah pergi meninggalkan kami sewaktu saya berada di tingkatan 5. Oleh kerana masalah kewangan, saya tidak pernah mengikuti kelas-kelas tambahan yang diadakan kerana ianya berbayar.
Kehidupan saya sedikit berubah selepas saya melanjutkan pelajaran ke Kolej Kejururawatan Hospital Kuala Lumpur. Minda saya sudah terbuka. Saya memang minat dalam bidang ini kerana ingin membantu ramai orang. 3 tahun selepas itu saya bergelar jururawat terlatih dengan gaji permulaan yang agak tinggi. Dengan gaji tersebut, dapatlah saya membantu emak di kampung.
Saya merasakan kitaran hidup saya sama seperti ulat beluncas. Semakin lama, semakin berubah menjadi rama-rama yang cantik dan menikmati hidup yang lebih bermakna kerana mempunyai kehidupan sendiri . Saya bersyukur kerana dipertemukan jodoh dengan suami saya yang mempunyai semangat yang kental, sentiasa menyokong dan yang paling penting seorang yang penyabar. Kerana dialah saya berpeluang untuk sampai ke luar negara. Dengan mengikuti beliau yang bekerja dengan Kedutaan Malaysia disana memberi ruang yang sangat besar untuk saya mempelajari banyak perkara baru di dalam hidup terutamanya dalam bidang masakan. Minat saya kepada masakan semakin bercambah sepanjang berada di sana.
Sebelum ini saya berpengalaman bekerja di beberapa buah hospital dan klinik kesihatan sebelum saya membuat keputusan berhenti kerja pada 2 bulan yang lepas. Sebab utama saya membuat keputusan untuk berhenti adalah sama seperti kebanyakan suri rumah yang lain, kerana ingin menumpukan perhatian kepada keluarga, juga ditambah dengan beberapa faktor sampingan seperti suasana yang tidak seronok di tempat kerja, tekanan dan bebanan kerja yang tinggi.
Keterlibatan saya dalam seminar IJI ni adalah diatas ajakan suami saya yang sememangnya peminat tegar Dr. Azizan Osman. Beliau telahpun beberapa kali mengikuti kursus-kursus yang dianjurkan oleh Richworks sama ada yang percuma mahupun berbayar. Tertulisnya kisah ini juga adalah di atas sokongan beliau... :). Doakan semoga saya terus bersemangat selamanya..
7 ulasan:
Salam ziarah... lama betul menanti blog ini berupdate.. :)
Apapun, muga pilihan yang dibuat adalah terbaik. Dan semoga sukses selalu.. :)
terima kasih kakakku...sayang selalu kerana sentiasa supportive...
All the best Nor! Semoga menjadi jutawan wanita yg berjaya suatu hari nanti.
You can contact these people for further info in 'Richworks team'
Norhamidi Mohi - +60 19‑328 8343
Thanks Kak Liy...In Sha Allah...aminnnnn...
at last baru dgr cerita pasal kak nor! good luck dlm apa juga bidang yg akak ceburi. jgn lupa update ye, nak jugak jadi JUTAWAN + suri rumah :)
Oja : tula..semangat menulis surut diisi dgn pelbagai aktiviti. Tak sangka jadi surirumah di Malaysia lagi busy dr stay kat Rusia dulu..huhu..
Catat Ulasan